Thursday 10 October 2013

SELAGI MEREKA MASIH ADA..



Selagi ibu bapa mu masih ada.. sayangi lah mereka..kerana besar sungguh jasa mereka mendidik dan membesarkan kita. Penat lelah mereka menjaga kita tidak akan terbalas dengan apa jua bentuk hadiah yang akan kita berikan. Walau segunung emas dihadiahkan, tidak setimpal jua dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan terhadap kita. Sayangilah mereka sepertimana mereka menyayangi kita semasa kita masih kecil.

Selagi mereka masih ada..jangan lupa mengembirakan mereka, kerana begitu sengsara mereka menjaga kita semasa kita masih kecil. Sengsara juga mereka sewaktu menjaga ketika kita sedang sakit dan setelah kita besar dan remaja, belum reda lagi sengsara mereka kerana bermacam kerenah telah kita reka mengikut citarasa keremajaan kita. Apabila kita meningkat dewasa susahnya hati mereka kerana mereka tidak tahu dengan siapa jodoh kita dipertemukan kerana mereka tidak mahu hidup kita diabaikan.  


Adil terhadap keduanya



Selagi mereka masih ada..berlaku adillah terhadap mereka keduanya, kerana mereka tidak pernah membeza-bezakan diantara kita dengan adik beradik kita yang lain. Jika kita rasa dibezakan, itu hanyalah perasaan kita sendiri kerana tiada ibu bapa yang suka membeza-bezakan diantara kesemua anak-anaknya..cuma apa yang kita rasa seperti dibeza-bezakan adalah sebenarnya untuk memberi semangat kepada kita agar mencontohi kepada sesuatu perkara yang lebih baik yang sepatutnya ada juga pada diri kita. 

Selagi ibu bapa mu masih ada..jangan sesekali menyakiti hati mereka kerana besar sungguh dosanya apabila membuat ibu bapa kita rasa tersinggung. Jangan terfikir di benak hati mu untuk membentak kata-kata mereka walau memang terbukti ia salah sekalipun. Tuturkan lah kata-kata dengan berhemah demi menjaga hatinya agar tidak terguris. Jangan kau sangka apa yang diluahkan dari mulutnya sama dengan luahan hatinya. Kalau benar-benar kau menyelami hatinya kau akan faham..sebenarnya apa yang dituturkannya tidak kan sama rasa dihatinya, kerana seorang ibu tidak akan mampu untuk mengaku perkara sebenar dihadapan anak-anaknya. 


Beri Perhatian

 
Selagi ibu bapa mu masih ada..jangan kau cuba mengambil kesempatan ke atas diri mereka. Jangan kau fikir kau terlalu bijak untuk menentukan arah tuju hidupnya, berilah ruang dan peluang kepada mereka untuk menentukan haluan hidupnya selagi masih tidak melanggar hukum syariat. Jika kau pandai mengambil kesempatan atas kelemahan kedua mereka, percaya lah hidup mu tidak akan bahagia dan ceria kerana sampai ketikanya, hidup kau juga akan berulang seperti apa yang kau telah lakukan kepada mereka.

Selagi ibu bapa kita masih ada..jangan cuba abaikan mereka, berilah perhatian kepada mereka kerana mungkin tidak lama mereka akan bersama dengan kita lagi. Berilah peluang kepada mereka untuk menikmati kesenangan setelah bersusah payah mereka membanting tulang untuk menyara dan membesarkan kita sehingga kita menjadi dewasa seperti hari ini. Gembirakan lah hati mereka semahu-mahunya mengikut tahap kemampuan yang kita ada.  Jangan kita membenarkan fikiran kita diracuni oleh sesiapa pun untuk tidak mengendahkan kedua ibu bapa kita walau seburuk atau sejahat mana mereka sekalipun.

Ambil Kesempatan Sebelum Terlambat 


Selagi mereka masih ada..peluk dan dakap lah mereka, kerana kau akan menyesal apabila saat kau cium nanti tidak ada lagi respon dari mereka. Peluk dan cuimlah mereka semasa mereka masih lagi boleh memberi respon daripada pelukan kita. Ingatlah Ibu bapa kita adalah segala-galanya bagi kita kerana jika tiada mereka tiadalah kita. Kenanglah jasa mereka dengan berbuat baik terhadap keduanya.