Ayah .. ALLAHYARHAM HJ. HARUN BIN
YEOP AHMAD
Ayah… hanya doa yang dapat kami
kirimkan buat mu..segala jasa dan pengorbananmu membesarkan kami semua, tidak
mampu kami balas. Didikan yang ayah berikan kepada kami menjadikan kami
sentiasa berusaha untuk patuh pada perintah dan menjauhi segala larangan sebagaimana
yang disyariatkan Allah s.w.t. Kami semua bersyukur kepada Allah dan berterima
kasih pada mu ayah, kami redha dan akur walaupun kami dididik penuh ketegasan
demi kebahagiaan kami pada hari ini. Kami berdoa kepada mu ya Allah..”cucuri
lah rahmat ke atas roh ayah kami dan golongkan lah ia bersama-sama orang-orang
yang beriman”. “Terima kasih ayah…” Al-Fatihah…
Ibu .. HJH. LATIFA BINTI OMAR
Ibu..pengorbanan mu tersangatlah
hebat, tiada luahan kata-kata dapat diungkapkan untuk menggambarkan keperitan
dan kepayahan mu, pengorbanan dan jasa mu ibu tidak akan terbalas. Kecekalan
dan ketabahan hati mu membuatkan kami
dapat merasai nikmat kehidupan pada hari ini. Kesusahan dan penderitaan
atas kemiskinan yang ibu harungi tidak dapat digambar akan keperitannya oleh
kami semua.. Kesengsaraan mu mencari rezeki demi sesuap nasi bagi kami
anak-anak mu tidak akan kami lupa.
Kentalnya semangat yang tersemai di dalam jiwa ibu tidak pernah luntur
walaupun terpaksa memerah keringat demi memberi pendidikan kepada kami semua.
Ibu..setiap detik kesusahan yang kami harungi bersama ibu akan terpahat utuh di
hati sanubari hingga ke akhir hayat kami. Kepasrahan ibu mengharungi ujian yang
ditakdirkan oleh Allah s.w.t mengajar kami sentiasa bersyukur dengan setiap
nikmat dan redha dengan ketentuan yang dianugerahkan olehNya.
Ibu..kini hatimu tenang..setenang
air di kali. Berkat kesabaran dan ketabahan hatimu..ibu mampu tersenyum,
terpadam segala duka dan lara yang menyelubungi hidupmu selama ini. Limpahan
kasih sayang yang dicurahkan anak-anak sangat ibu banggakan. Ibu dimanja bagai
anak kecil..segala kemahuan ibu tidak pernah diabai, Luahan hati yang
dilafazkan ibu, terlukis satu kepuasan, kegembiraan dan kebanggaan yang
menyemaikan rasa syukur tidak terhingga kepada pencipta alam ini kerana
mengurniakan anak-anak yang soleh. Ketenangan dan kegembiraan yang
dianugerahkan ini tidak pernah dirasai suatu waktu dahulu..sewaktu jerih
membesarkan kami semua.
Ibu…kami sentiasa berusaha untuk
membahagiakan ibu selagi hayat kami dikandung badan. Keperitan ibu membesarkan
kami tidak akan dapat dibalas oleh kami semua, tetapi kami akan sedaya upaya
membalas jasa ibu mengikut kemampuan kami sebagai manusia biasa. Ibu...air mata
kami sentiasa bergenang tatkala mengimbau kembali kepayahan hidup yang ibu
lalui, tiada siapa yang sanggup berkongsi kesusahan dan menghulur bantuan
kerana masing-masing punya tanggungjawabnya sendiri. Kesabaran dan kepasrahan
ibu menerima dugaan dan ujian hidup dari Allah s.w.t telah mendapat kemenangan
dan kemanisannya pada hari ini.
Ibu..kini tiba masanya untuk ibu
beristirehat demi menghilangkan segala kepenatan lalu, memperbanyakkan ibadah
dan memperhambakan diri kepada Allah Yang Maha Esa di ketika ini bagi menambah
saham ibu di sana nanti adalah yang terbaik buat ibu. Kami akan sentiasa
mendoakan kesihatan yang baik dan ketenangan hati buat ibu. Sekiranya masih ada
sedetik atau sekilas kenangan yang meruntun jiwa..anggap lah ia sebgai rencah
kehidupan dan hulurkan lah kemaafaan buat mereka kerana sesungguhnya Allah
s.w.t lebih mengetahui sesuatu yang berlaku ke atas setiap hambanya. Sempena bulan Ramadhan yang
akan menjelang tidak lama lagi, ibu..marilah kita bersama-sama mensucikan hati,
bermunajat serta memanjatkan doa kepada Allah s.w.t agar amalan kita diterima
olehNya dan mendapat keberkatan didunia mahupun di akhirat. Insyaallah…
abang .. MOHD AZHAR HARUN
Demi maruah dan kebahagiaan
keluarga, kau sanggup menempuh liku-liku hidup yang mencabar dan sukar.
Penghargaan yang tidak terhingga dari kami untuk mu setelah berjaya memberi
sinar harapan yang baru dan merubah nasib keluarga. Jasa dan bakti mu
sememangnya tidak ternilai.. kau umpama payung yang memayungi tuannya, walau
diri mu hampir rebah menahan deruan angin dan hujan, tapi kau tetap teguh dah
utuh untuk terus sedia memayungi kami adik-adik mu. Besar jasamu membuat ibu
sentiasa terharu..terharu kerana kepayahan yang terpaksa diharungi semasa usia
mudamu. Kecekalan hatimu, membakar lagi semangat ibu untuk menempah kejayaan
hari ini..sabar sifat mu, jadikan ibu terus teguh berdiri meneruskan perjuangan
hidup.
Sehingga kini ibu masih
terkenang, terkenang pergorbananmu..terkenang kesabaran mu..terkenang kecekalan
mu..pengorbanan yang kau hulurkan telah banyak memberi impak kepada
kesejahteraan keluarga kita. Tika kami berkumpul semasa pulang ke kampung,
masih terdengar lagi kata-kata pujian buatmu serta rasa simpati kerana
kepayahan dan kesusahan mu suatu waktu dulu.Sifat lembutmu menyejukkan hati
ibu..selamba sifatmu menggelikan hati ibu. Warak sifatmu membuatkan ibu
sentiasa berdoa agar setiap amalan mu diterima oleh Allah s.w.t. Tapi jangan
pula lupa..rajuk hati ibu muncul tika kau tidak bertandang ke rumah..sugul
jiwanya tatkala tiada kelibatmu dihalaman rumah..sunyi perasaannya bila tiada
siapa menziarahinya dirumah. Perasaan seorang ibu memang begitu.. jika yang
disayang tiada disebelah, mulalah perasaannya tidak tentu arah. Terkadang ibu
terdengar-dengar suara tapak kakimu yang lembut tika dihayun di atas lantai
kayu rumah buatan ayah. Rasa hormat dan malu pada ayah, buat ibu terkenangkan
mu tatkala ayah tiada lagi disisinya.
Sehingga kini..kau masih menjadi
harapan kami semua..maafkan kami kerana pengorbanan mu masih lagi kami
harapkan, harapan kami bukan disengajakan tetapi kerana kami jauh diperantauan.
Memang kami akur..kami tidak kan mampu untuk menjaga kebajikan ibu pada tiap
hari, walau niat dihati mau saja senantiasa berada disisinya. Terima kasih atas
segala pengorbananmu abangku.. walau ia sebahagian dari tanggungjawab, pasti
timbangan amalmu akan berat.
![]() |
Dr. Hanafi Harun |
![]() |
Amir Harun |
![]() |
Shairi Harun |
![]() |
Aminah Harun |
![]() |
Maimunah Harun |