Saturday, 19 September 2015

HIDUP DENGAN PRINSIP SENDIRI



Setuju betul saya dengan tajuk artikel "Untuk Kaya, Jangan Peduli Apa Orang Kata" yang ditulis oleh sifu Tn. Mohd Zulkifli Shafie. Kebetulan memang sama sebijik dengan prinsip yang saya amalkan selama ini. Walaupun saya tak kaya macam sifu saya ni, tapi sekurang-kurangnya saya tidak terputus wang dan hati sentiasa tenang dan tak perlu fikir wang tak cukup pada setiap hujung bulan. Cuma bezanya sifu saya ni seorang yang berpendidikan tinggi dan dah berjaya di dalam bisnesnya. Walaupun bekerjaya sebagai akauntan di sebuah bank di ibu negara sebelum ini, hidupnya sangat sempoi dan mengamalkan cara hidup dibawah kemampuan.

Tak Tiru Gaya Hidup Orang Lain


Saya pun tak pernah peduli apa orang lain kata. Saya tak rasa pun nak tiru cara hidup orang yang hidupnya macam mewah. Beli kereta baru, selalu makan diluar, selalu pergi makan angin, bershoping tak habis-habis. Biar orang ada perabut cantik dan dihias rapi, langsir ditukar setahun sekali, saya tak rasa susah hati pun. Alhamdulillah, saya sentiasa amalkan prinsip "jangan tiru gaya hidup orang lain" dan amalkan hidup besederhana dalam apa jua keadaan. Walaupun saya boleh dikatakan mampu untuk mengikut kemahuan saya, namun saya lebih suka untuk beringat-ingat masa akan datang demi anak-anak saya.

Biarpun ada yang kata "apa guna kerja penat-penat, kalau diri sendiri tak dapat merasai nikmatnya". Bagi saya nikmat itu, apa yang saya belanjakan untuk keluarga dan dapat memenuhi keperluan mereka. Saya kerja atau cari duit bukan untuk memewahkan diri sendiri tapi semuanya untuk membantu suami dan dikongsikan bersama keluarga. 


Utamakan Yang Lebih Utama


Saya tak perlu pinjamkan duit PTPTN untuk anak saya belajar di kolej, saya keluarkan duit sendiri untuk biaya pelajaran mereka dikolej. Kalau boleh saya tak nak susahkan mereka untuk bayar balik duit PTPTN yang belum tentu akan menjamin mereka dapat kerja atau tidak apabila mereka habis belajar nanti. Tengok, kalau saya beli kereta baru atau bermewah-mewah dengan gaji yang tak seberapa tu, dah tentu saya tak mampu untuk biaya pelajaran mereka sebab saya sibuk nak bayar hutang itu dan hutang ini. Kadang-kadang saya perhati, orang yang punya kemampuan tinggi pun terpaksa pinjam duit PTPTN untuk biaya anak mereka belajar di universiti ataupun kolej. 


Syukur Dengan Nikmat yang Allah Beri


Allah lebih mengetahui akan segala kemampuan hambaNya, Alhamdulillah..saya tak rasa pun nak beli baju mahal, tudung mahal dan macam-macam yang mahal. Walaupun saya punya duit gaji sendiri untuk saya belinya dengan sesuka hati saya. Mungkin juga kerana saya pernah melalui saat-saat sempit semasa saya kecil, jadi saya tak kisah dengan kehidupan sekarang yang saya rasa, saya sangat kaya jika dibandingkan dengan kehidupan dulu. Saya rasa saya sangat kaya sekarang..tapi kalau orang tengok memang saya tak ada apa pun dalam hidup saya sekarang ni. Saya cuma ada rumah, ada kereta walaupun bukan kereta baru, anak-anak boleh belajar dengan sempurna dan dapat duit belanja sekolah. Kalau raya boleh belikan baju baru untuk anak-anak, kasut sekolah anak boleh tukar kalau dah koyak. Haa..pada saya kaya la tu kan. Dibandingkan dengan kehidupan saya dulu, memang akan menangis kalau diimbau kembali kisah-kisah tu. Susah sangat, jadi saya sangat bersyukur dengan apa yang Allah bagi saya nikmat sekarang ni. Saya juga sangat berterima kasih kepada orang-orang YANG TERSAYANG yang sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga tercinta.

Pada saya, apa guna ada kereta baru, tudung cantik, kasut lawa, baju meghelip tapi hutang keliling pinggang, belum sampai hujung bulan tinggal syiling sekupang-sekupang. Bagi saya biarlah saya nampak tak "up to date"  dan hidup besederhana dalam apa jua situasi, janji saya sentiasa bahagia dan tak fikir nak bayar hutang keliling pinggang.