Tuesday, 1 March 2016

PELABURAN HARTANAH ATAU EMAS


Saya cuba syorkan kepada seorang kawan tentang kelebihan pelaburan emas sebab dia orang berbisnes. Jadi saya cuba syorkan kepada dia, supaya dia boleh selamatkan separuh dari hartanya untuk ditukar kepada emas. Setelah kami bersembang melalui wassap tentang kelebihan menyimpan emas, dia beritahu saya, dia telahpun membeli emas yang saya maksudkan tu, iaitu emas pelaburan sejak lebih kurang 2 tahun yang lalu. 



Dengan nada menyesal, dia seakan mengeluh kerana harga emas tidak pernah naik semenjak dia membeli emas tersebut 2 tahun lepas. Saya cuba tanya kepada dia, berapa banyak emas yang dibelinya dan emas keluaran mana. Rupa-rupanya dia membeli emas Pamp Suisse Gold Bar di Ar Rajhi Bank dengan kuantiti berat seberat 1 kg dan kawan saya telah beli 2 ketul jongkong sekali gus.


Tak Perlu Menyesal


Kawan saya bersungut, katanya daripada dia beli emas, lebih baik dia beli rumah. Beli emas tak berbaloi. Bertahun-tahun tunggu harga naik, tapi waktu yang dinantikan tak kunjung tiba. Tak macam beli hartanah, setiap tahun nilainya semakin melonjak. Jadi katanya, entah bila dia boleh jual balik emas tersebut dengan nilai yang lebih tinggi. Tidak dinafikan bahawa membeli aset hartanah juga sangat menguntungkan, namun terdapat juga kelemahan atau kekurangan yang ada jika membeli aset tersebut. Sebagai contoh, jika kita ingin menjual semula hartanah tersebut untuk kegunaan wang yang mendesak. Tidak ramai yang mampu membeli hartanah yang sangat tinggi harganya. Berbeza dengan emas yang kita boleh gadaikan sementara waktu dan menebusnya kembali apabila kita telah mempunyai keuntungan dari sesuatu bisnes atau sebagainya.

Pentingnya Ilmu


Apa-apa pun yang kita nak buat atau lakukan memang kena ada ilmu. Ilmu itu yang akan memandu kita untuk melakukan perkara yang betul.   Memang kawan saya tu banyak duit, tidak ada hal untuk dia mengeluarkan duit beratus-ratus ribu hanya kerana untuk membeli emas. Memang nampak gah kerana boleh beli jongkong emas dengan berat 1kg Tapi cuba bayangkan kalau kita nak jual balik emas tersebut untuk kegunaan yang sedikit.


Masalah akan timbul kerana emas tersebut tidak boleh dipotong-potong hanya untuk menggunakan sebahagian dari keperluan yang kita perlukan. Bila dia mengalami masalah kewangan dan ingin menjual kembali emas tersebut, dia terpaksa menjual keseluruhan emas seberat 1 kg yang mungkin akan mengalami kerugian yang besar sekiranya di waktu itu harga emas sedang rendah.


Berbeza jika kita beli emas dalam kuantiti berat yang rendah seperti contoh, 10 gm, 50 gm, 100 gm dan sebagainya. Kita boleh menjual ikut kepada keperluan kita dan tak perlulah menjual keseluruhan emas tersebut kerana dibeli dengan kuantiti berat yang rendah.


Emas Tetap Emas


Walau apapun jika kawan saya tidak menjualnya sehingga harganya betul-betul tinggi dan ianya untuk menyelamatkan hartanya dari kejatuhan nilai ringgit, dia tetap untung kerana siapa pun tahu bahawa EMAS memang tetap EMAS, nilai emas tidak akan susut dimakan inflasi, nilainya sejak zaman Rasulullah sama sahaja sehingga ke hari ini.