Monday, 18 August 2014

DI MANA REZEKI ANDA...



Soalan : Nak tukar sekolah mana?
Jawapan : Nak tukar ke Madrasah Tahfiz..
Soalan : Ada akademik ke?
Jawapan : Tak de..
Soalan : Sayang la, tak ada akademik, kita nak dunia dan juga akhirat..
Jawapan : Hmmm


Tampak seperti perbualan di atas semacam menganiaya anak-anak apabila ibu bapa mengambil keputusan untuk menghantar anak-anak mereka ke pondok2 atau sekolah/ maahad tahfiz yang tidak menyediakan pengajian akademik, masyarakat lebih memandang ke arah pencapaian akademik berbanding pencapaian di dalam bidang agama. Jika tiada kelulusan akademik seperti tiada masa depan. Pada pandangan saya, masa depan bererti setelah kita berada di alam barzakh atau di akhirat kelak. Setakat punya pencapaian akademik yang luar biasa tetapi tiada pengetahuan agama, memang sesorang itu tiada masa depan yang cerah.

Masyarakat memandang pencapaian akademik adalah segala-galanya, sedangkan rezeki bukanlah hanya berpunca dari pencapaian akademik semata-mata. Tidak dinafikan, kalau memang tidak berminat untuk berniaga atau cara mudah untuk memperolehi pendapatan secara tetap, memang itu sahaja lah caranya. Sedangkan sekiranya mempunyai kemahiran untuk berniaga dan berjinak-jinak kearah itu, hasilnya memang melebihi pendapatan orang yang bekerja makan gaji. Berapa ramai manusia di muka bumi ini yang tidak menggunakan sijil akademik tetapi dengan mudah mendapat pendapatan bulanan puluhan ribu ringgit malahan ratusan ribu ringgit pada setiap bulan. Ini yang membuktikan pencapaian akademik tidak semestinya mendatangkan punca rezeki kepada seseorang.


Bukan tidak perlu menuntut ilmu di dalam bidang akademik, kerana ilmu sangat penting bagi kehidupan manusia. Tetapi janganlah kita terlalu bersandar kepada kelulusan akademik untuk mencari dunia. Seperti yang pernah diceritakan oleh Pakar Pemasaran No. 1 Asia, Dr. Azizan Osman, beliau mendapat ilmu tentang perniagaan melalui seorang uncle berbangsa cina yang hanya seorang penjual sayur dan tidak berpelajaran. Ilmu yang dipelajari semasa di IPTA langsung tidak membantu untuk dia terus berjaya di dalam bidang perniagaan kerana ianya hanya berbentuk teori yang tidak dapat dipraktikkan di alam nyata.

Namun, apa pun rezeki tetap di "tangan" Allah. Kita sebagai manusia perlulah gigih dalam setiap apa sahaja usaha yang dilaksanakan. Jika tiada komitmen yang tinggi dalam setiap pekerjaan atau menuntut ilmu, tiada siapa yang akan berjaya.